Sejak akhir-akhir ini keinginan dan kerajinan untuk mengepam susu buat Syakir kian merosot. Perasaan bosan dan malas sangat menguasai diri. “Kesian anak mama, kena minum susu beku sahaja”. Hari ini langsung Miza tidak mengepam. Esok, jika Miza kembali mengepam, susu mesti berkurangan.
Miza sangat kagum dengan ibu-ibu yang boleh bagi komitmen sepenuhnya. Ada yang sanggup mengorbankan waktu tidur, bangun di awal pagi, semata-mata untuk mengepam susu. Susu dipercayai keluar dengan lebih banyak pada waktu malam dan awal pagi. Miza sendiri tidak pernah berbuat begitu. Ini mungkin disebabkan Miza dikurniakan dengan kemewahan susu yang banyak. Biasanya pengeluaran susu dihasilkan lebih banyak daripada permintaan. (Hmmmm.... macam kilang susu pula!)
Sekiranya Miza mengepam secara rutin, sekitar 20-25 Oz susu berjaya diperolehi. Sedangkan permintaan susu oleh Syakir sekitar 15-18 Oz sahaja sehari. Penawaran telah melebihi permintaan. Mengikut hukum pasaran, bila penawaran melebihi permintaan, harga sesuatu barang akan jatuh merudum. Dalam hukum penyusuan susu ibu, yang Miza cipta sendiri, bila penawaran melebihi permintaan, motivasi untuk mengepam susu akan berkurangan dan kemalasan akan menguasai diri.
Oleh itu ibu-ibu, hukum yang Miza ciptakan ini tidak boleh digunakan sama sekali jika ibu-ibu berhasrat untuk menyusu permata hati secara eksklusif.
Sekian Miza merapu untuk hari ini. Sampai berjumpa lagi.