29 January 2012

Rasa Hati

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Menulis tanpa tujuan adalah perbuatan sia-sia. Lantas Miza terfikir, apa sebenarnya tujuan Miza menulis di dalam blog ini? Banyak perkara yang tidak boleh diluahkan di sini. Banyak cerita yang hanya menjadi simpanan peribadi. 

Namun Miza ingin juga menulis, mencoret perjalanan kehidupan. Menjadi sebahagian kenangan kehidupan. Jika berpeluang, Miza ingin coretkan semuanya. Tetapi itu tidak mungkin. Lantas Miza memutuskan untuk bercerita tentang anak-anak sahaja.

Miza kagum kepada mereka yang istiqamah menulis, bercerita dan berkongsi rasa di dalam blog. Banyak masa yang mereka peruntukan untuk memerah idea, merangka penulisan, menulis seterusnya memaparkan di dalam blog. Seronok membaca dan mengikuti kisah mereka.

Sekian.

14 January 2012

Bila Doktor Mengemukakan Sijil Cuti Sakit Palsu

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Isnin lepas, Miza mula menanggung kerja rakan setugas yang telah cuti bersalin. Pada asasnya kerja Miza dan kerja dia adalah sama. Yang berbeza hanyalah Bos yang kami jaga. Dia menjaga Bos besar dan Miza menjaga Bos Kedua besarnya dalam hierarki carta organisasi tempat kerja Miza. 

Bila Miza menanggung kerja, bermakna Miza membuat kerja secara berganda. Menjaga 2 bos serentak. Ramai yang bertanya, mampukah Miza melaksanakannya. Miza hanya tersenyum tanpa jawapan. Miza percaya kepada keupayaan dan kepercayaan diri. Setiap yang sukar pasti ada yang senang. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Mengalah sebelum mencuba adalah pesimis. Berusaha sepenuh hati namun gagal adalah lebih baik.

Entri berkenaan pengesahan sijil cuti sakit merupakan entri popular di blog Miza, dan semalam Miza menerima satu lagi surat berkenaan dengan pengesahan sijil cuti sakit. Kali ini berbeza, bila doktor sendiri yang mengemukakan sijil cuti sakit yang palsu kepada ketua jabatannya. Jikalau pekerja biasa, MC biasanya dalam sehari dua sahaja. Namun MC doktor ini mencecah berpuluh hari. 

Menurut Bos, seseorang doktor yang berpengalaman dengan hanya menyentuh kertas MC sahaja, dia sudah mengetahui MC tersebut tulen atau palsu. Kertas yang dikeluarkan oleh Syarikat Percetakan Negara untuk sijil cuti sakit  tidak boleh dipalsukan oleh mana-mana syarikat percetakan yang lain.

Sekiranya berniat untuk membeli sijil cuti sakit yang palsu. Fikirkanlah banyak kali. Pihak majikan, sekiranya mengesyaki sijil cuti sakit tersebut adalah palsu, mereka akan meminta pengesahan daripada hospital yang mengeluarkan sijil cuti sakit tersebut. Sekiranya palsu, tindakan pasti dikenakan.

06 January 2012

Tanggung Kerja

InsyaAllah, bermula minggu depan Miza akan mula menanggung tugas rakan sekerja yang telah mula cuti bersalin. Beliau telah mengambil cuti bersalin 2 minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin. Maka bermula minggu depan, Miza akan menjadi PA kepada 2 orang bos. 

Maka kerja akan menjadi extra 2 kali ganda. Harapnya Miza mampu menjalankan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya.

03 January 2012

Hikmah Kuarantin

Sebenarnya Miza sedang mengkuarantikan Syakir Iqbal semenjak minggu lepas lagi. Dia disahkan terkena jangkitan Tangan, Kaki dan Mulut. Penyakit berjangkit yang perlu dikuarantinkan daripada orang ramai. Khususnya ditempat padat dan ramai seperti di taska.

Oleh sebab itu, Miza terpaksa mengambil cuti yang panjang bagi menjalankan misi pengkuarantinan Syakir Iqbal. Miza ingatkan seminggu sudah mencukupi, rupa-rupanya Syakir harus dikuarantinkan selama 2 minggu. Alhamdulillah, jangkitannya tidak terlalu banyak menular dan terkawal. 

Memandangkan Miza bercuti panjang, Miza memutuskan untuk menjalankan "potty training" pada Syamil Irfan. Alhamdulillah, tidak terlalu sukar untuk melatihnya. Hanya sesekali Syamil "terkucil" di ruang tamu. Yang lain sempat diselamatkan.

Itulah hikmah dikuarantin ditahun baru. Sehingga berjumpa lagi.

02 January 2012

Tips Mendapatkan Idea Menulis

Selamat Datang 2012. Selamat tahun baru buat semua pengunjung blog Mama Syamil. Terima kasih kerana sudi bertandang ke sini.

Tahun ini Miza berazam untuk lebih kerap mengemaskini blog. Untuk entri pertama tahun ini Miza ingin kogsikan bersama bagaimana untuk mencari idea untuk menulis diblog. Ianya sebagai rujukan Miza dalam usaha untuk menjadi blogger yang lebih aktif.

Tips 1: Membaca blog kawan-kawan yang lain. Kadang-kadang idea
          baru terlintas dalam fikiran bila kita  membaca cerita orang lain
Tips 2: Seterusnya kita tulis apa yang terlintas dalam hati dan fikiran. 
Tips 3: Melihat sesuatu isu daripada sudut pandangan yang berbeza
Tips 4: Kita juga boleh 'review' sesuatu produk yang kita gunakan

Itu sahaja tips untuk rujukan dan panduan.