26 May 2011

Syakir 3 Bulan

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera

Hari ini Miza bekerja separuh hari sahaja. Ini kerana miza perlu membawa syakir untuk pemeriksaan kesihatan bulanannya.

Sesampai di taska, Miza dimaklumkan yang Syakir mogok lapar hari ini. Susu banyak dibuang daripada diminum. Miza tertanya-tanya kenapa keadaan seperti ini boleh berlaku. 3 hari sebelum ini Syakir tiada masalah menyusu melalui botol. Namun persoalan itu tiada jawapannya. Hanya meneka dalam kesamaran.

Ok sambung cerita. Selepas itu Miza membawa Syakir ke klinik kesihatan. Setelah ditimbang, berat syakir sudah mencecah 4.9kg. Alhamdulillah. Walaupun tidak naik secara mendadak, paling tidak ada peningkatan berat badan.

Sekarang Syakir sudah pandai berbual-bual dan sangat rajin mengajak mamanya bersembang. Tentunya menggunakan bahasa bayinya. Sesekali dia tersenyum & tersengih menampakkan gusinya yang tidak bergigi. Benarkan, anak itu anugerah. Saat dia tersenyum, hilang seketika penat seharian bekerja. Keletah mereka menghiburkan.

Selain itu, Syakir sudah mula belajar mengiring & membalikkan badan. Mungkin dia sudah mahu meniarap. Syakir juga sangat suka bermain dengan lidah. Seolah-olah dia seorang sahaja yang ada lidah.

Miza sudah mengantuk, setakat ini dahulu cerita Syakir. Terima kasih kerana sudi membaca. Sampai berjumpa lagi.

24 May 2011

Mari Baca Buku

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Sambil tunggu e-Gaji loading, Miza hendak mengarang entri ke dua untuk hari ini. Memandangkan Syakir telah ditinggalkan di taska, masa untuk Miza berinternet memang tidak terganggu.

Ini buku besar Syamil.
Dalam kerajinan Miza berjalan-jalan di alam maya. Miza terjumpa satu blog yang membicarakan berkenaan bayi genius. Jika anda berminat bolehlah berkunjung ke sana di sini. Entri terbarunya menceritakan berkenaan dengan cara-cara untuk menstimulasikan bayi membaca. Memandangkan entrinya terlalu panjang dan tulisannya agak kecil, Miza tidak sempat habiskan semua artikel pemilik blog tersebut.

Melalui pembacaan yang tidak selesai, Miza dapat satu ilmu. Penulis tersebut menyarankan kepada ibu-ibu yang ingin mengajar anak membaca hendaklah merangsang anak seawal mungkin. Ianya boleh dimulakan daripada mula lahir lagi. Flash kad yang digunakan hendaklah yang mempunyai perkataan sahaja. Tidak diperlukan flash kad yang bergambar. Ini kerana, ia akan mengganggu fokus anak untuk melihat perkataan tersebut.

Tidak sabar hendak membacanya
Yang ini Miza gagal. Miza memperkenalkan Syamil dengan buku-buku bergambar. Hasilnya, Syamil sangat mengenali gambar-gambar tetapi tidak bagi perkataan atau huruf-huruf. Apapun Miza sangat bersyukur, Syamil sangat suka membaca gambar-gambar di dalam bukunya. Apa yang pasti minat terhadap buku sudah tertanam didalam diri. Semoga ia dapat dikekalkan sehingga Syamil dewasa.

InsyaAllah, Miza akan cuba guna pakai kaedah yang diterangkan oleh Pn. Watie pada Syakir.

Sedap Macam Milo

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Hari ini Miza ingin berkongsi cerita. Kisahnya begini... Semalam, selepas En. Wan pulang daripada kerja, kami sekeluarga keluar mencari puting susu si Syakir. Dalam perjalanan ke kedai, En. Wan berbual-bual dengan anak terunanya.

En. Wan: Abang Long, sedap ke hisap nenen?
Syamil: Sedap..
En. Wan: Yer ke sedap?
Syamil: Sedap... macam milo

Terkejut kami mendengarnya. Itulah kali pertama kami mendengar Syamil menggunakan perumpamaan sebegitu. Jika sebelum-sebelum ini, dia akan mengatakan sedap sahaja tanpa menghurai lebih lanjut.

Jika anda seorang ibu, susuilah anak dengan susu ibu. Nikmat 'bonding' antara anak dan ibu sukar dihuraikan. Itulah cerita Miza untuk hari ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

23 May 2011

Syakir Sudah Pulang

Syakir sudah balik ke rumah. Miza pergi ambil dia sekitar pukul 1.30 tadi. Sempat juga bercakap-cakap dengan penjaga Syakir. Katanya, awal-awalSyakir ada menangis juga. Bila bagi susu pun dia tolak. Miza menggunakan botol dan puting avent. Bila Syakir menolak menggunakan puting avent, penjaganya menukar puting jenama nuk. Alhamdulillah, Syakir tidak menolak lagi dan boleh minum susu menggunakan puting tersebut.

Syakir guna yang ini
Memandangkan puting itu dipinjam, maka Miza kena dapatkan satu untuk Syakir. InsyaAllah, malam ini kami cuba dapatkannya. Terasa lega bila Syakir dapat minum susu melalui botol.

Esok sehari lagi Syakir  akan ditinggalkan separuh hari. Lusa, Miza sudah mula bekerja dan Syakir akan ditinggalkan sepanjang hari.

Syakir Telah Ditinggalkan

Assalamualaikum

Syakir berlatih minum botol
Hari ini Syakir memulakan latihan untuk ditinggal-tinggalkan oleh mama dia. Kami suami isteri bersetuju meletakkan Syakir di taska sebelum Miza memulakan kerja. Itu pun separuh hari sahaja. Sekitar pukul 2 nanti Miza mengambil kembali Syakir. Memandangkan taska tersebut berdekatan dengan rumah.

Alhamdulillah, Miza dimaklumkan hanya Syakir seorang sahaja bayi yang belum boleh merangkak yang ada di taska tersebut. Untuk makluman, taska tersebut mengasingkan bayi dan kanak-kanak asuhan mereka kepada 3. Iaitu bayi yang belum boleh merangkak, bayi yang boleh merangkak dan kanak-kanak di bawah 2 tahun dan 2 tahun ke atas. Ini bermakna tumpuan hanya kepada Syakir seorang.

Apa yang merisaukan Miza, sekiranya Syakir tidak mahu menyusu melalui botol. 3 bulan dia hanya "direct feeding", kemungkinan untuk dia menolak adalah tinggi. Harapnya Syakir dapat membiasakan diri dan boleh menyusu melalui botol.

"Syamil, Syakir... mama tetap sayangkan kalian walaupun mama terpaksa tinggalkan kalian di taska".

21 May 2011

Segmen Bloglist Abgteror | Tanah Tumpah Darahku

Tiba-tiba Miza rasa nak join segmen Abgteror ni. Dengan pantasnya Miza menaip entri ni. Meh kita tengok apa kisahnya.

 

 1. Di mana anda dilahirkan?
 
Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan

2. Di mana anda dibesarkan?
 
Jeli, Kelantan
 
3. Negeri pilihan anda untuk dimasukkan ke dalam senarai bloglist Abgteror?

Selangor

4. Ceritakan sedikit mengapa anda memilih negeri tersebut?

Miza pilih negeri Selangor sebab 2 orang putera Miza dilahirkan di sini. Miza dan suami bekerja di sini dan telah membeli rumah di sini. 

Kontraktor Muda

Add caption



20 May 2011

Blog Ku Bersawang

Blog ini kerap kali bersawang dengan sarang labah-labah. Menunjukkan pemiliknya 'teramat rajin' mengemaskini isi kandungan blognya.

Miza cukup kagum dengan blogger yang boleh mengemaskini blog mereka setiap hari. Lebih-lebih lagi mereka yang menulis beberapa entri setiap hari. Dimana mereka mendapatkan idea untuk menulis & masa untuk mengarang artikel.

Miza sendiri seringkali kebuntuan idea untuk menulis. Asyik-asyik cerita Syamil dan Syakir. Jika ada idea untuk menulis, masa untuk mengarang pula tiada. Komitmen kepada anak dan keluarga perlu diutamakan.

Apa pun Miza akan pastikan blog ini tidak berkubur sebagaimana blog Miza yang lepas-lepas.

16 May 2011

Selamat Hari Guru



Cikgu,
Terima kasih kerana telah memperkenalkan kami abc
Terima kasih kerana mengajar kami mengira
Terima kasih kerana mengajar kami membaca

Cikgu
Terima kasih kerana sabar menghadapi karenah kami
Terima kasih kerana ikhlas mengajar kami
Terima kasih kerana tulus mendidik kami

Cikgu
Jasa dan pengorbanan mu kami sanjung tinggi
Jasa dan pengorbanan mu kami semat di dalam hati
Jasa dan pengorbanan mu kami ingat sampai mati

Cikgu
Tiada ungkapan yang mampu kami luahkan
Sebagai tanda penghargaan yang tulus ikhlas
Yang telah bersusah payah
Mengorbankan masa dan keringat
Mengajar dan mendidik kami.

Cikgu
Yang mampu kami lakukan
Hanyalah memanjatkan doa
Semoga Allah mengurniakan rahmat
Mensejahterakan kehidupan dunia dan akhirat

Cikgu
"Selamat Hari Guru"

14 May 2011

Miza Pun Demam

Sambungan entri lepas.

Disebabkan Miza menyedut segala hingusan Syakir bagi mengurangkan mukus di dalam hidungnya. Miza juga terkena jangkitan bakteria tersebut. Beberapa hari selepas Syakir demam, Miza pula yang demam. Miza sekadar menikmati demam tersebut. Tidak berusaha mengambil apa-apa ubat. Pertamanya, Miza takut memberi kesan kepada susu badan. Risau akan memberi kesan yang tak elok pada Syakir. Keduanya, bagi membolehkan badan Miza mengeluarkan antibodi yang kuat bagi melawan demam dan dapat disalurkan pada Syakir melalui susu ibu yang pastinya. Seterusnya membolehkan Syakir sembuh sepenuhnya daripada demam.

Hebatnya susu ibu. Pada hari Miza demam, setelah menyusukan Syakir beberapa kali. Akhirnya Syakir sembuh sepenuhnya daripada demam. Ibu mana yang tidak risau jika anaknya demam beberapa hari. Suhu badan asyik naik turun sahaja. Bila demam Syakir kebah, Miza rasa lega sangat dan rasa berbaloi dengan demam yang Allah bagi tu. Alhamdulillah...

Menikmati demam yang Allah titipkan. Seluruh badan berasa sakit-sakit. Terasa sangat sukar bila Allah menarik nikmat kesihatan. Lebih-lebih lagi ketika menjaga anak kecil yang juga tidak sihat. Kali terakhir demam ketika berpantangkan Syamil. Itupun sebab silap makan. Demam pun sekadar badan terasa panas sahaja bukannya sakit seluruh badan.

Apapun syukur kepada Allah, Dia bagi demam pada ibu tetapi bagi kesembuhan pada anak.

10 May 2011

Bila Syakir Tak Sihat

Rasa macam lama sangat tak menjengah blog ni. Mood nak berblog hilang entah ke mana.

Sebenarnya Miza agak sibuk kebelakangan ini. Sibuk menguruskan anak jer pun. Si kecil Syakir dapat sakit biasa bayi. Apa lagi kalau bukan batuk, selsema dan demam ditambah lagi sakit mata. Anak kecil bila dah tak sihat, asyik merengek aje kerjanya. Terpaksalah mama dia yang baik hati ni melayan segala macam kerenahnya.

Dalam entri sebelum ni, Miza ada bagitahu untuk mengurangkan penggunaan ubat bagi anak-anak yang masih kecil. Khususnya ubat batuk dan selsema yang ternyata memberi kesan sampingan yang tidak baik bagi bayi & kanak-kanak di bawah 2 tahun.

Disebabkan pilihan itu, Miza kena bekerja lebih keras sedikit. Memastikan suhu badan Syakir tidak terlalu tinggi. Boleh terkena sawan kalau terlalu tinggi. Miza hanya menjelum dan memeriksa suhu secara berkala. Menyedut hingus bagi mengurangkan hingus dalam hidung. Menyapu kunyit di hidung bagi mengeringkan hingus. Bagi sakit mata, Miza titiskan susu ibu ke dalam mata Syakit.

Alhamdulillah, Syakir telah sembuh sepenuhnya daripada demam dan selsema. Cuma batuknya masih ada lagi tetapi tidak begitu membimbangkan. Yes! Miza berjaya merawat anak dengan penggunaan ubat yang minimum.

04 May 2011

Kita Serumpun

Gambar Ihsan : Google


Dalam sehari dua ni Miza ralit membaca sejarah Bangsa Melayu. Bagi Miza ianya sangat menarik. Kita boleh mengetahui susur galur keturunan kita di nusantara ini. Jika anda juga berminat ingin mengetahuinya boleh la berkunjung ke blog Alter Terahsia Bangsa Melayu ini.

Dengan ini terjawab sudah persoalan yang sentiasa bermain di minda. Jika anda perasan lagu Rasa Sayang ada dalam versi Malaysia dan Indonesia. Malah banyak lagi lagu-lagu rakyat dan kebudayaan kita ada persamaan dengan Indonesia. Sehingga sesetengah rakyat Indonesia mengatakan kita mencuri hak milik mereka.

Hakikatnya kita bangsa serumpun. Bangsa Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, rakyat Indonesia mahupun Malaysia bebas mendiami di mana-mana tempat di nusantara ini. Tanpa dipisahkan oleh geografi negara. Kita bebas berhijrah dan pastinya membawa sekali adat dan kebudayaan kita. Maka tidak hairanlah jika di Indonesia ada wayang kulit dan kain batik begitu juga di Malaysia. Ada sesetengah tempat di Indonesia, rakyatnya bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kelantan dan Kedah. Berkemungkinan besar rakyat Kedah dan Kelantan bermigrasi ke sana.

Jadi, tiada siapa maling dalam hal ini. Ini kerana kita adalah bangsa yang serumpun. Membawa adat dan kebudayaan yang sama.