30 June 2011

Hari Yang Sibuk

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

29 Jun 2011
Apa khabar kawan-kawan blogger, pengunjung dan pembaca blog Miza? Doa Miza, semoga kalian berada dalam keadaan sihat sejahtera di bawah payung rahmat Ilahi.

Alhamdulillah, Miza sudah sudah semakin kerap mengemaskini blog ini. Miza mengambil kesempatan mengemaskini blog ini di tengah malam atau di awal pagi. Iaitu sewaktu Miza sedang menyediakan keperluan anak-anak untuk di bawa ke taska.

Semalam merupakan hari yang agak sibuk buat Miza di pejabat. Awal-awal pagi, Miza telah terima panggilan daripada kementerian. Ianya berkenaan dengan laporan di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina mengenai pesakit yang mendapat rawatan di sini.

Disebabkan jabatan mempunyai Unit Perhubungan Awam, Miza sambungkan panggilan tersebut kepada Unit Perhubungan Awam. Mulanya Miza ingat tiada kes yang serius. Tetapi menjelang tengahari, Miza sekali lagi mendapat panggilan. Kali ini daripada Pengarah Hospital sendiri. Beliau memaklumkan agar siasatan dan laporan kes tersebut diberi kepada pegawai di kementerian dan juga setiausaha akhbar menteri. 

Bila Miza mendapat arahan tersebut, mula lah Miza kelam kabut. Hmm... macam Miza pula yang kena jawab kan. Sebenarnya bukan Miza, tetapi boss Miza la yang kena jawab. Miza membantu apa yang sepatutnya. Dah nama pun PA.
Itu  belum termasuk lagi dengan surat-surat keluar masuk yang perlu di key in di dalam sistem surat menyurat jabatan. Kerja ini tidak Miza lakukan keseorangan. Melainkan bersama Kak Linda dan Kak Su. Kecil hati mereka kalau Miza mendakwa Miza melakukan seorang diri. Hakikatnya dibantu bersama.

Yang menyebabkan Miza sibuk bila Miza bekerja seorang diri. Mana hendak jawab panggilan telefon, menerima dan menghantar dokumen untuk tandatangan dan tugas sampingan yang diarahkan dari masa ke semasa oleh boss.

Walaupun dalam kesibukan, aktiviti mengepam tidak Miza abaikan. Tetap lakukan bila tiba masanya. Miza mengepam antara 2 - 3 kali sehari. Iaitu antara pukul 10 pagi ke 10.30 pagi, waktu rehat dan petang antara pukul 4.30 petang ke 4.45 petang. Biasanya, Miza memperolehi lebih 20oz susu perahan setiap hari. Itulah bekal hari-hari untuk Syakir di taska.

Sekian dulu coretan Miza untuk hari ini. Semoga kita berjumpa lagi.

Wassalam

29 June 2011

Sebuah Impian

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Bertemu kembali kita di alam maya. Miza mendoakan agar kalian semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

Mempunyai perniagaan sendiri merupakan impian Miza. Sekarang pun Miza sudah mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ini secara kecil-kecilan. Miza menjual brooch kepada kawan-kawan sepejabat. Alhamdulillah, Miza mendapat sokongan padu daripada mereka.

Setiap bulan akan ada pesta jualan Puspanita & Kelab Kebajikan Kakitangan di tempat kerja Miza. Ramai peniaga kecil yang berjualan di sana. Sebelum Miza cuti bersalin, Miza pernah berjualan di sana dan Miza berkeinginan kembali berniaga di situ. Hasrat tersebut Miza tangguhkan atas beberapa sebab, antaranya terdapat ramai peniaga yang menjual produk yang sama dengan apa yang ingin Miza jualkan. 

Keduanya, Miza tidak mempunyai kakitangan untuk menjaga gerai tersebut. Miza sendiri tidak sanggup mengambil cuti rehat semata-mata untuk berniaga di situ. Miza mungkin boleh mempertimbangkannya jika menjelang musim perayaan.

Jika Miza berniaga juga di sana, Miza tidak boleh hanya berbekalkan produk yang sama dengan peniaga yang lain. Miza mesti tampilkan dengan kelainan. Akan diusahakan nanti.

Buat masa ini Miza sedang menyiapkan blog shop. InsyaAllah akan dimaklumkan setelah semuanya siap nanti.

Sekian sahaja coretan Miza untuk kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca dan sampai kita berjumpa lagi.

Wassalam.

28 June 2011

Bila Elektrik Tiada

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Stok EBM Syakir, 45bekas x 3oz
Bagi ibu-ibu yang menyusukan anak dan mempunyai stok beku ebm yang banyak, power trip @ bekalan elektrik yang terputus merupakan satu kebimbangan dan ketakutan. Bimbang dan takut kalau-kalau bekalan elektrik lewat ada yang akan mengakibatkan stok beku ebm mencair di dalam peti sejuk.

Begitulah yang Miza rasakan malam tadi, bila tiba-tiba sahaja bekalan elektrik terputus. Elektrik tiada sekitar jam 8 malam. Pada waktu itu, kami sekeluarga sedang bersantai-santai di hadapan televisyen menonton Buletin Utama TV3. Aktiviti memasak makan malam juga belum bermula. Miza tunggu lebih kurang sejam, namun elektrik tetap tiada. Jadi kami memutuskan untuk makan malam di luar sahaja.

Sejam setengah selepas itu, kami kembali ke rumah. Alhamdulillah, elektrik sudah ada. Stok ebm Syakir pun masih elok bekunya. Tiada tanda-tanda ia mencair.

Sampai di sini sahaja cerita Miza. Terima kasih kerana sudi membaca dan sampai kita berjumpa lagi di entri yang akan datang.

Wassalam.

25 June 2011

Syakir 4 Bulan

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Hari khamis lepas bersamaan dengan 23 Jun 2011, merupakan tarikh Syakir perlu dibawa ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan bulanannya. Dalam erti yang lain Syakir telah menceah usia 4 bulan.

Dalam usia 4 bulan ni, Syakir sudah boleh meniarap.Kepalanya sudah boleh dikawal dengan baik dan dia juga sudah boleh buat pusingan 360 darjah. Beratnya sebanyak 5.6kg sahaja. Naik lebih kurang 500g sahaja.

Syakir juga menunjukkan tanda-tanda kulit yang sensitif bila badannya akan kemerah-merahan bila digigit semut atau nyamuk. Tanda merah akan semakin besar jika tidak disapukan ubat.

Itu sahaja cerita Syakir. Terima kasih kerana sudi membaca dan dijemput datang lagi.

Sampai berjumpa lagi.

23 June 2011

Bayi Perempuan & E-Coli

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Waktu rehat semalam, Miza dengan rajinnya mengunjungi perpustakaan bagi mengisi waktu terluang. Sebenarnya malas hendak mengepam. Dalam banyak-banyak majalah, Miza berkenan dengan majalah Al-Islam. Didalamnya ada mengutarakan isu kenapa kencing bayi perempuan perlu dibasuh sebersihnya sedangkan kencing bayi lelaki memadai dengan merenjis @ memercikkan air ditempat yang terkena air kencing sahaja.

Menurut majalah tersebut, di dalam air kencing bayi, terdapat bakteria E-Coli. Apa yang membezakan mereka adalah kandungan bakteria tersebut. Didalam air kencing bayi lelaki, kandungan bakteria tersebut  sedikit jika dibandingkan dengan kandungan bakteria E-Coli didalam air kencing bayi perempuan.

Di dalam Blog Info Kesihatan ada menyatakan bahawa Bakteria Escherichia coli atau singkatannya E. coli, juga di sebut sebagai E.kolai adalah sejenis basilus gram-negatif. Ia merupakan sebahagian flora normal usus pada haiwan dan manusia. Sebagai flora normal, E. coli membantu menghalang penempatan organisme patogen yang menyebabkan penyakit.
 E. coli juga menghasilkan vitamin K dan B kompleks yang diperlukan tubuh. ``Bagaimanapun, sekiranya E. coli beralih daripada ekosistem asalnya, bakteria ini menjadi berbahaya. Ia dilaporkan, antara agen penyebab jangkitan saluran kencing (UTI), jangkitan kuman dalam darah
atau septisemia, radang selaput otak pada bayi (neonatal meningitis), cirit-birit dan jangkitan luka selepas pembedahan terutama yang melibatkan pembedahan usus,'' kata Pakar Perunding Mikrobiologi dan Kawalan Infeksi, Jabatan Mikrobiologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr. Nordiah Awang Jalil.

Perintah Allah pasti ada hikmahnya. Sains telah membuktikannya. Syariat Allah sebenarnya ingin melindungi kita daripada jangkitan bakteria E-Coli.

Sampai berjumpa lagi.

20 June 2011

Selamat Hari Bapa

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Ayah dihari pernikahanku
Hari ini Hari Bapa. Macam mana Miza boleh terlupa. Hehehe... Sebenarnya tak pernah sambut pun. Bila buka blog, semua orang bercerita mengenai Hari Bapa ni. Jadi untuk tidak ketinggalan, Miza turut serta menulis entri berkenaan Hari Bapa ni
Bersempena Hari Bapa ni Miza ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat En. Wan tersayang yang telah menjadi bapa kepada dua putera Miza. Atas segala susah payah yang telah kita lalui bersama dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Dengan harapan setiap anak kita menjadi anak yang baik lagi soleh. Yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Terima kasih juga kepada En. Wan atas segala kasih sayang yang telah dicurahkan kepada anak-anak. Moga ia menjadi kenangan terindah buat mereka dalam meniti kehidupan mendatang.

Perjalanan "papa" sebagai bapa masih lagi jauh. Masih banyak lagi liku-liku yang perlu kita tempuhi. Semoga kita berjaya menempuhinya bersama sebuah kejayaan mendidik anak-anak. Kejayaan itu juga bukan destinasi melainkan sebuah perjalanan juga.

Kenapa Miza tidak bercerita mengenai ayah Miza? Sedikit gambaran mungkin boleh didapati di sini.

Kepada bapa-bapa di luar sana, Miza ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa. Semoga kalian menjadi bapa yang hebat. Membesar dan mendidik generasi pewaris bumi Malaysia tercinta.

Sampai berjumpa lagi.

16 June 2011

Syakir, Meniarap & Taska

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Malam ni kedua-dua hero Miza tidur awal. Jadi boleh la mengupdate blog sekejap.

Sekarang ni Miza tidak boleh sentiasa online. Masa-masa macam ni jer la Miza boleh mengadap blognya. Baca blog kawan-kawan pun sepintas lalu. Tak macam dulu. Apapun hidup mesti enjoy.

Miza rasa sekejap jer masa berlalu. Rasa baru jer melahirkan Syakir, sekarang sudah tiga bulan lebih dah. Dia suka sangat senyum. Itulah penawar keletihan tatkala balik dari kerja. Dia juga sudah boleh meniarap. Semalam dah boleh angkat kepala. Hari ni dia mantapkan lagi kemahiran mengangkat kepala. Bila dia letih, dia baring. Alhamdulillah, progres Syakir ok.

Di taska pun dia tak banyak ragam. Menangis bila nak susu jer. Bila dah kenyang dah boleh sambung bergelak ketawa dengan pengasuh dia. Hari isnin dan selasa, hari dia buat ragam kat taska. Main tolak-tolak puting botol susu. Bila lapar sangat baru minum. Penangan dua hari memerap dengan mamanya kat rumah. Direct feeding, no botol2. Hehehe... Pengasuhnya minta Miza bagi juga botol kat rumah, agar dia tak tolak masa kat taska. Apa pendapat mommies semua??

Ok la, setakat ini dulu bicara untuk hari ini. Botol susu belum sterilize lagi ni...

Sampai berjumpa lagi.

13 June 2011

Kerja Rumah

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Musim kenduri kahwin belum berakhir lagi. Hari ini mungkin hari terakhir bagi musim cuti sekolah ini. Siang tadi Miza berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan sepupu En. Wan di Sentul

Sampai di rumah, badan sudah penat. Tetapi banyak benda yang perlu dibereskan. Kena gagahkan juga menyiapkan semua kerja-kerja yang sepatutnya. Dalam kepala dok fikir kerja yang sepatutnya kena buat, tapi gatal nak update blog. Sudahnya, bahasa kaku, idea nak menulis pun takde.

Miza kena siapkan pakaian Syamil & Syakir untuk ke taska esoknya. Kalau buat pagi esok, alamat kelam kabut yang amatlah jadinya. Kena siapkan botol-botol susu yang hendak dibawa ke pejabat bagi aktiviti penghasilan susu ibu yang lazat lagi berkrim buat Syakir. Mana lagi tugas hakiki menjadi tukang masak. Owh, semua itu perlu Miza lakukan.

Ok la, Miza hendak pergi rebus botol susu pula. Miza terpaksa cairkan 4 botol stok ebm Syakir, sebab hendak guna botol susu untuk aktiviti mengepam esok. 

Sampai bertemu lagi.

12 June 2011

Tiada Tajuk

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Lamakan kita tidak bersua di alam maya? Bulan Jun menghampiri pertengahan bulan, namun satu entri pun Miza belum tulis. Apakah Miza sedang membina sawang labah-labah? Oh harapnya tidak.

Sebenarnya Miza sedikit sibuk mengatur rutin baru. Miza kembali bekerja pada 25 Mei yang lepas. Jadi banyak benda dan perkara yang perlu diuruskan. Sebenarnya banyak benda yang ingin Miza kongsikan bersama. Namun kengkangan masa membataskan segala. Miza cuba menulis selagi terdaya.

Itu sahaja. Sampai jumpa lagi.