29 April 2011

Barut Bayi & Kembung Perut

Gambar ihsan : google
Barut bayi merupakan antara persediaan penting bagi sesetengah ibu yang baru melahirkan anak. Dikatakan dengan memakaikan barut pada anak boleh mengelakkan kembung perut. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan.

Miza sendiri tidak begitu mempraktikkan penggunaan barut pada anak-anak. Baik Syamil mahupun Syakir, penggunaan barut hanya dalam tempoh berpantang sahaja. Habis pantang, tiada lagi barut buat mereka. Ia mungkin disebabkan barut yang digunakan tidak begitu elok. Barut yang Miza pakaikan pada anak-anak biasanya akan naik ke dada. Bukan lagi membarut perut sebagaimana fungsinya. Menyebabkan Miza tidak begitu seronok itu meneruskan pemakaiannya.

Faktor lain yang menyebabkan Miza tidak berminat untuk meneruskan penggunaan barut ini adalah tiada alasan kukuh dan munasabah tentang penggunaannya. Seperti yang Miza nyatakan di atas, barut dipercayai dapat mengelakkan kembung perut kepada bayi. Namun pernyataan itu boleh disanggah. Sepanjang Miza tidak memakaikan barut pada Syamil & Syakir, tiada lagi kejadian kembung perut pada mereka. 

Sebab terjadinya kembung perut tidak diketahui. Secara teorinya kembung perut terjadi disebabkan oleh:-

1. Usus :
- Alah kepada protein susu lembu.
- Alah kepada laktosa.
- Usus belum matang. Pencernaan karbohidrat yang tidak sempurna akan menyebabkan kembung dengan   
 "angin" yang berlebihan.
- Ketidakselesaan disebabkan "angin".

2. Biologi :
 - Cara menyusu : kurang atau lebih menyusu dan kurang sendawakan bayi.
 - Terdedah kepada asap rokok. Ibu yang merokok sewaktu mengandung atau di  dalam pantang akan 
   menyebabkan bayi berisiko tinggi untuk kembung perut.

3. Psikososial
- Ibu bapa yang tertekan.

4. Lain-lain
- Sistem saraf bayi yang belum matang menyebabkan ia lebih sensitif kepada faktor persekitaran.

Maklumat lengkap berkaitan kembung perut boleh di baca di sini.

Bagi ibu di luar sana, pilihan di tangan anda. Setiap sesuatu ada pro dan kontra. Kita tentukan apa yang ingin kita lakukan. Pastinya yang terbaik untuk anak-anak kita.

27 April 2011

Seharian Di Sungai Buloh 2

Sambungan cerita semalam ya...

Tepat jam 2 petang, Miza meluru ke Klinik Dermatologi. Ingatkan sudah jadi orang yang terawal, rupa-rupanya ada orang lagi awal daripada kami. Kami perlu membuat pendaftaran di kaunter hasil terlebih dahulu barulah kami boleh mendapatkan no giliran berjumpa dengan tuan doktor. Giliran Syamil yang ke tiga. Ok lah tak la terlalu lama sangat menunggu. Sambil-sambil menunggu giliran, kami bantai tengok tv. Syamil sibuk nak tengok wonderpets dia. Cuba juga cari tv9, tapi tak dapat. So Miza layan citer Sejuta Cinta Marshanda.

Tak lama kemudian, sampai la giliran Syamil jumpa dengan doktor. Syamil masuk dengan yakin & bergaya. mama syamil yang perasan lebih ni. Syamil selalu buat hal kalau berjumpa dengan doktor. Tak kena gaya, satu klinik boleh dengar suara dia. Tapi kali ni macam lain sikit. Dia yang terlebih excited nak jumpa dengan doktor. Macam-macam yang dia cerita dekat doktor tu. Doktor tu mengangguk ajer la, mana dia faham omelan Syamil tu. Sampai satu tahap, Syamil minta buku doktor tu nak buat bulat-bulat kecil. Hehehe... itu istilah Syamil kalau dia nak menulis atau menconteng.

Tak banyak yang doktor tu terangkan berkenaan alahan si Syamil tu. Miza ingat akan ada "test alahan" bagai. Tapi takde pun. Pemeriksaan tu berlangsung kurang daripada setengah jam.

Selesai berurusan dengan tuan doktor, kena pergi farmasi la pulak. Ambil ubat. Kemudian kami terus balik. Kemuncak kepenatan seharian di Sungai Buloh, kami semua 'pengsan' bila sampai di rumah. Malamnya Syamil pulak demam.

Seharian di Sungai Buloh betul-betul memenatkan. Ada hati nak sambung g pesta buku. Huhuhu...

26 April 2011

Seharian Di Sungai Buloh 1

Alkisahnya semalam, Miza sekeluarga menapak menuju ke Hospital Sungai Buloh. Syamil ada temu janji di sana. Kami keluar dari rumah lebih kurang jam 9 pagi.

Sesampai di hospital, jam menunjukkan pukul 10 pagi. Sedangkan temu janji jam 2 petang. Apa ke hal, pagi-pagi dah sampai ni??. Sebenarnya, sebelah pagi kami sekeluarga ada sesi kaunseling dengan Pegawai Pendidikan Kesihatan di sana berkenaan penyakit alahan Syamil ni.

Lebih kurang pukul 10.30 pagi, kami berjumpa dengan pegawai tersebut. Beliau menerangkan serba sedikit mengenai penyakit Syamil. Apa yang sepatutnya kami lakukan. Apa yang boleh dan apa yang perlu kami elakkan agar alahan Syamil tidak bertambah teruk. Menurut beliau, penyakit ini boleh sembuh sepenuhnya bila dewasa. Hanya 5% daripada pesakit yang terus menderita penyakit alahan ini apabila dewasa. Kami berdoa agar Syamil boleh sembuh sepenuhnya nanti.

Sedang pegawai tersebut membuat penerangan, Syamil boleh pula menikmati sarapan pagi dia. Tak senonoh betul anak teruna ni. Apapun Miza gembira, sebab Syamil makan agak banyak juga. Biasanya makan sesuap dua sudah tak nak makan.

Sesi kaunseling selesai lebih kurang jam 11 pagi. Memandangkan temu janji pukul 2 petang, kami ada masa untuk buat aktiviti lain. Jadi kami memutuskan untuk ke bank di pekan Sungai Buloh. Niat dihati ingin membuka akaun simpanan Syakir, tetapi terlupa hendak membawa surat beranak dan Mykid. Terpaksalah membatalkan hasrat tersebut. Kami sekadar menyimpan wang Syamil yang tidak seberapa dan membayar pinjaman rumah sahaja. Selesai urusan di pekan Sungai Buloh, kami kembali ke Hospital Sungai Buloh.

Habis part 1, nanti Miza sambung ya.

24 April 2011

Super Mama

Adik, kita tidur sama-sama ya...
Kadang kala Miza terasa seperti seorang super mama. Mana tidaknya, sehingga hari ini, Miza masih lagi menyusukan Syamil yang telah pun berusia 2 tahun 4 bulan bersama-sama adiknya Syakir yang genap 2 bulan hari ini. Menyusukan serentak dua beradik ini pilihan Miza. Namun, setelah melaluinya barulah Miza merasakan getirnya cabaran menyusukan 2 orang anak pada masa yang sama. Memang hebatlah ibu-ibu yang boleh tandem nursing dengan jayanya.

Miza sendiri terasa tidak mampu untuk meneruskan "tandem nursing"ini. Dalam hati sentiasa terdetik untuk memberhentikan penyusuan Syamil. Namun kalah dengan permintaan Syamil. Biarlah waktu menentukan tempoh penyusuan Syamil.

19 April 2011

Syamil: Bercerai Susu 1

Lebih kurang pukul 5.15 pagi tadi, Syamil bangun ingin menyusu. Dia masih menyusu badan dalam usia 2 tahun 4 bulan. Kebetulan pula, adiknya Syakir juga sedang menyusu. Apabila hasratnya terhalang, maka terpantullah suara yang maha kuat memecah keheningan pagi. “Syamil nak nenen jugaaaa….!!!”.  Raung Syamil
                
“Abang Long boleh nenen, tetapi selepas adik ya…”, Miza cuba memberitahu Syamil. Tanpa banyak soal Syamil mengangguk tanda setuju. Namun persetujuan anak berusia 2 tahun ini bukan boleh dipegang lama. Tidak berapa lama kemudian Syamil meraung lagi. Miza cuba menerangkan perkara yang sama, tetapi tidak diendahkannya. Dia terus meraung meminta haknya untuk menyusu. Miza membiarkan dia buat seketika. Biar dia meluahkan rasa, menzahirkan protes yang permintaanya tidak semudah dahulu untuk ditunaikan. Hakikatnya dia perlu mengikut giliran jika dia ingin menyusu juga dan keutamaan bukan lagi berpihak pada dia. Sebaliknya, adiknya Syakir.

Apabila Syamil telah kembali tenang. Miza dekati dia. Peluk dia dengan erat. Miza nyatakan yang kasih sayang tidak pernah berubah. Masih sama seperti dulu. Cuma kena bagi perhatian lebih kepada adik sebab adik masih kecil lagi. Kelihatan  Syamil memahami apa yang Miza cuba sampaikan. 

Dengan lembut Miza memberitahu Syamil, “Abang Long dah kena berhenti nenen tau,Abang Long sudah besar, sudah ada adik pun”. Tanpa disangka Syamil mengangguk setiap kata-kata Miza. Pada kebiasaannya kalau Miza meminta dia berhenti menyusu, dia akan menggelengkan kepala. Tanda dia belum bersedia berhenti menyusu. Apakah dia sudah bersedia untuk bercerai susu?

Tidak berapa lama kemudian, Syamil member isyarat yang dia ingin menyusu lagi. Miza segera ingatkan dia, yang dia telah bersetuju untuk berhenti menyusu. Faham apa yang Miza maksudkan, dia terus tidur. Tanpa sebarang bantahan mahupun tangisan. 

Apakah dia benar-benar bersedia untuk bercerai susu?

18 April 2011

Syamil & Syakir: Batuk, Demam & Selsema 2

Alhamdulillah, Syamil semakin sembuh sepenuhnya daripada batuk dan selsema. Syakir pula masih batuk-batuk tetapi selsemanya sudah berkurangan.

Miza rasa Syakir mendapat jangkitan daripada Syamil. Mana tidaknya pantang ada peluang, Syamil akan mencium Syakir di pipi kiri & kanan. Belum lagi sentuhan-sentuhan yang lain.

Pada peringkat awal Syakir terkena selsema, dia sangat tidak selesa tidur malam. Hidungnya tersumbat. Sekejap-sekejap dia terjaga. Sebagai ibu, tentu sekali rasa sangat kasihan dengan keadaan itu. 

Pada mulanya Miza hanya menyapu vicks pada bahagian dada dan belakang Syakir. Kononnya tidak mahu bagi ubat. Namun amalan sebegitu ternyata merbahaya kepada bayi dan kanak-kanak di bawah 2 tahun. Semasa mencari maklumat berkenaan dengan batuk & selsema, Miza terjumpa forum susuibu.com yang membincangkan tentang bahayanya penggunaan vicks kepada bayi. Forum tersebut boleh dibaca disini. 

Apa yang Miza lakukan hanyalah meneruskan penyusuan susu ibu dengan lebih kerap lagi. Bagi menambah kualiti susu, Miza juga mengamalkan pengambilan madu spirulina 1 sudu besar setiap hari. Alhamdulillah, Syakir semakin baik, walaupun belum pulih sepenuhnya.

14 April 2011

Syamil & Syakir: Batuk, Demam & Selsema 1

Sejak akhir-akhir ini Miza banyak mencari maklumat berkenaan dengan batuk, selsema dan demam dikalangan bayi dan kanak-kanak. Mempunyai 2 cahaya mata yang tengah membesar memerlukan ibu mempunyai setidak-tidaknya sedikit pengetahuan berkenaan gejala tersebut. Ianya selalu dialami oleh bayi dan kanak-kanak. Alhamdulillah, banyak maklumat dan pengetahuan baru yang diperolehi hasil pencarian tersebut.

Sebenarnya ubat batuk dan selsema sama sekali tidak diperlukan oleh anak kecil. Menurut Dr Zubaidi, batuk dan selsema bukanlah sejenis penyakit tetapi salah satu mekanisma pertahanan diri (imuniti tubuh) untuk mencegah jangkitan kuman. Apabila bendasing telah memasuki rongga hidung dan tekak, badan kita selalunya ada refleks untuk cuba mengeluarkan bendasing itu dengan tindakan  refleks batuk dan bersin. Jika ianya bukan penyakit, maka tidak perlulah diberi ubat.

Disebabkan Miza memutuskan untuk tidak memberi ubat batuk dan selsema pada anak-anak, kaedah alternatif perlu dilakukan bagi meredakan batuk & selsema. 

Syamil telah pun berusia 2 tahun 4 bulan. Dia tiada masalah untuk menggunakan ubat-ubatan. Jika ke klinik, ubat wajib yang akan dapat adalah ubat batuk, selsema, demam dan antibiotik. Namun Miza tidak berhasrat untuk bergantung pada ubat-ubatan tersebut. Apa yang Miza lakukan adalah member 1 sudu kecil madu spirulina. Alhamdulillah ada sedikit perubahan. Walaupun tidak sembuh sepenuhnya lagi.

Cerita Syakir akan menyusul nanti.

Sekadar coretan ringkas.

01 April 2011

Panduan Asas Penyimpanan Susu Ibu


Bagi ibu-ibu yang bekerja dan menyusukan anaknya dengan susu ibu sepenuhnya, membuat penyimpanan susu adalah sangat penting agar bekalan susu kepada simanja tidak terputus. Penyimpanan susu sebaik-baiknya dilakukan lebih awal supaya dapat mengumpul stok yang lebih banyak. 

Di bawah ini saya kongsikan bersama panduan asas penyimpanan susu ibu yang seharusnya setiap ibu tahu mengenainya.

  • Bekas penyimpanan susu hendaklah dibasuh dengan bersih menggunakan sabun, dibilas dengan air didih dan dikeringkan dengan sempurna sebelum digunakan
  • Catatkan tarikh perahan pada bekas susu sebelum menyimpannya  
  • Simpan susu dalam kuantiti mencukupi untuk 1 kali penyusuan untuk 1 bekas, contohnya 2 – 4 oz sahaja setiap bekas
  • Jangan penuhkan bekas sehingga ke penutupnya, tinggalkan sedikit ruang untuk membolehkan pengembangan berlaku apabila susu dibekukan
  • Susu yang hendak dibekukan sebaiknya hendaklah disimpan di bahagian sejuk terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke bahagian beku peti sejuk  
  • Jangan simpan susu perahan di bahagian pintu peti sejuk kerana suhu di bahagian pintu tidak stabil (kerana kekerapan membuka dan menutup pintu peti sejuk)  
  • Sebaiknya simpan susu perahan di bahagian paling atas dan paling dalam kerana suhunya lebih stabil dan malar  
  •  Jika menggunakan bekas penyejuk (cooler bag) pastikan ice pack yang digunakan mencukupi, ganti jika perlu dan kurangkan kekerapan membuka bekas penyejuk 

Sumber: http://www.momschoice.com.my/blog