30 June 2012

Pesona Kerongsang

Alhamdulillah, petang tadi telah selesai memborong kerongsang. InsyaAllah, saya akan memulakan kembali perniagaan kecil-kecilan saya ini setelah hampir setengah tahun tidak diusahakan. Sahabat-sahabat yang yang banyak menyokong bisnes ini seringkali bertanya stok yang terkini.

Setelah lama meninggalkan aktiviti memborong kerongsang, pada peringkat awalnya saya kehilangan rentak. Tidak pasti apa yang seharusnya dibeli. Ditambah lagi dua hero yang menjadi pengiring. Fokus dan tumpuan tidak selari. Mana hendak memilih kerongsang, mana hendak melihat-lihat sang hero. 

Alhamdulillah Tuan Suami banyak sangat membantu menjaga kedua-dua hero kami. Doakan usaha kami berhasil dan berjaya. Sokongan kalian amat saya hargai.

Terima kasih.

21 June 2012

Alahai Lesen P

Akhirnya, hari ini saya memutuskan untuk mendaftar belajar memandu. Sebenarnya hasrat ini telah lama  tersemat dihati, tetapi seringkali berakhir dengan pelbagai alasan yang diciptakan sendiri. Bermula Syakir di dalam kandungan, sehinggalah dia sudah berusia setahun lebih. Begitu juga dengan kawan-kawan, telah lama saya mencanangkan yang saya akan mengambil lesen kereta. Namun ia tetap begitu, dari hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun. Hasrat hanya tinggal hasrat.

Sehinggalah petang ini.
Di atas motor menyatakan hasrat, "papa, bila sampai di tasik puteri, kita pergi daftar lesen kereta ya".
Tanpa membantah, en. suami terus bersetuju. Sementelah itu yang dia tunggu selama ini.

InsyaAllah, jika tiada aral, saya akan mengikuti kelas @ ceramahnya pada 1 Julai ini. Harapnya tekad saya kuat untuk menghabiskan proses "perlesenan" kereta ini.

07 June 2012

Bayi & Walker


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Setelah sekian lama menyepikan diri, semalam tergerak hati untuk kembali mencoret rasa, berkongsi kisah dengan khalayak alam maya. Coretan yang tersangat ringkas, diharap ianya menjadi suatu permulaan yang baik untuk terus mencoret dan menghidupkan kembali blog ini. Semoga terus diberi kekuatan untuk terus menulis.

Penggunaan Walker Bayi

Bayi dan walker, terlalu sinonim dengan ibu bapa masa kini. Penggunaannya amat meluas. Dikatakan penggunaan walker mampu mempercepatkan proses seseorang bayi berjalan. Benarkah begitu?

Saya merasakan pendapat itu boleh disangkal dan asas kebenaran boleh diragui. Seseorang bayi memerlukan kemahiran pergerakan motor untuk terus berkembang. Bermula dengan meniarap, menjulur, merangkak dan berjalan. Penggunaan walker akan menyebabkan proses pergerakan motor akan menjadi lebih lambat dan tidak diterokai sepenuhnya oleh sekecil. Secara tidak langsung akan melambatkan proses seseorang bayi itu belajar berjalan.

Selain melambatkan penerokaan pergerakan motor seseorang bayi, penggunaan walker juga rupa-rupanya akan melambatkan perkembangan mentalnya. Perkara ini jelas diterangkan oleh Dr. Yong Junina Fadzil, seorang Pakar Perunding Pediatrik di dalam artikel Biarkan Bayi Bergerak Sendiri, penggunaan kerusi beroda menyebabkan bayi lambat berkembang dari segi mental keluaran Harian Metro bertarikh 6 Jun 2012. Menurut beliau, bayi yang menggunakan walker menunjukkan perkembangan fizikal dan mental yang lambat walaupun mereka telah pandai berjalan sendiri.

Menurut beliau, bayi yang menggunakan walker sebenarnya tidak belajar berjalan. Mereka tidak menggunakan kekuatan tapak kaki dan otot kaki untuk berdiri dan bergerak. Mereka hanya menggunakan hujung jari untuk bergerak yang sememangnya dibantu oleh roda yang sedia ada pada walker tersebut.

Penggunaan walker telah terbukti dan telah disahkan oleh pakar pediatrik akan keburukannya lebih banyak berbanding dengan kebaikannya. Terserahlah kepada kita untuk menggunakannya atau pun tidak. Buruk baik, kita yang tanggung. Selamat menjadi ibu dan bapa.

Sekian.

06 June 2012

Melumatkan Rasa Hati


Akhirnya saya masih di sini. Itulah ungkapan yang mampu dilafazkan tatkala mendapat pengkhabaran tempat yang di cita tiada “post” untuk jawatan saya.

Tidak mengapa. Itu semua ketentuan Tuhan yang masih memerintahkan agar saya terus berkhidmat di sini. Apa yang pasti, saya perlu belajar mengatasi rasa tersebut. Ya, rasa bosan yang sering kali bermukim di kamar hati, kebosanan yang sering kali ingin dilempar jauh. Akhirnya, rasa itu juga yang perlu saya kunyah lumat setiap hari.