26 September 2011

Bila Kemalasan Menguasai Diri

Sejak akhir-akhir ini keinginan dan kerajinan untuk mengepam susu buat Syakir kian merosot. Perasaan bosan dan malas sangat menguasai diri. “Kesian anak mama, kena minum susu beku sahaja”. Hari ini langsung Miza tidak mengepam. Esok, jika Miza kembali mengepam, susu mesti berkurangan.

Miza sangat kagum dengan ibu-ibu yang boleh bagi komitmen sepenuhnya. Ada yang sanggup mengorbankan waktu tidur, bangun di awal pagi, semata-mata untuk mengepam susu. Susu dipercayai keluar dengan lebih banyak pada waktu malam dan awal pagi. Miza sendiri tidak pernah berbuat begitu. Ini mungkin disebabkan Miza dikurniakan dengan kemewahan susu yang banyak. Biasanya pengeluaran susu dihasilkan lebih banyak daripada permintaan. (Hmmmm.... macam kilang susu pula!)

Sekiranya Miza mengepam secara rutin, sekitar 20-25 Oz susu berjaya diperolehi. Sedangkan permintaan susu oleh Syakir sekitar 15-18 Oz sahaja sehari. Penawaran telah melebihi permintaan. Mengikut hukum pasaran, bila penawaran melebihi permintaan, harga sesuatu barang akan jatuh merudum. Dalam hukum penyusuan susu ibu, yang Miza cipta sendiri, bila penawaran melebihi permintaan, motivasi untuk mengepam susu akan berkurangan dan kemalasan akan menguasai diri.

Oleh itu ibu-ibu, hukum yang Miza ciptakan ini tidak boleh digunakan sama sekali jika ibu-ibu berhasrat untuk menyusu permata hati secara eksklusif.

Sekian Miza merapu untuk hari ini. Sampai berjumpa lagi.

23 September 2011

Cerita Merapu

Akhirnya Miza punya kesempatan untuk mengemaskini blog yang kian bersawang ini. Kesibukan mengurus anak kecil, rumahtangga, kerjaya dan bisnes  membataskan masa untuk berblogging. Macam la sibuk sesangat. Yang sebenarnya Miza tidak boleh mengemaskini blog di pejabat. Jika boleh, rasanya setiap hari Miza update cerita-cerita panas di hospital. 

Sekarang Syakir telah tidur. Dengan pantasnya memerah idea untuk merapu di dalam blog ini bagi memastikan blog ini terus wujud di persada maya. 

Ok, sampai di sini sahaja Miza berceloteh.

10 September 2011

Main Masak-Masak

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Hari ini abang dan sepupu Miza datang beraya di rumah. Kelam kabut juga, sebab rancangan awal hari ini Miza hendak mengemas rumah yang tunggang langgang macam kapal pecah. Miza tidak sempat sepenuhnya hendak mengemas rumah. Kami balik dari kampung hari Isnin, sampai pun sudah malam. Tidur dan esoknya terus pergi kerja.

Miza masak ringkas sahaja. Jika beritahu lebih awal, mungkin Miza boleh buat persediaan sewajarnya. Miza dalam kategori orang yang tidak begitu mahir memasak. Sentiasa merujuk pada buku resepi sahaja. Nasib baik En. Wan orang yang tidak cerewet makan. Semua yang Miza masak, dia makan. Ruginya Miza sebab tiada pengkritik tegar yang boleh membantu menilai masakan Miza.

Motif Entri: Miza tidak pandai masak.

Sekian & jumpa lagi.

Nilai Wang Melayu

Hari ini Miza dan kawan-kawan pergi ke sebuah kedai @ pusat memborong yang dikenali sebagai Canggih. Tempatnya tidak lah canggih sangat. Di dalam kedainya ada pelbagai jenis kelengkapan barangan rumah yang dijual separuh harga pada semua barangan.

Ada juga dua tiga barang yang Miza berkenan dihati. Ambil kemudian letak kembali. Begitulah yang Miza buat berulang kali. Akhirnya tidak membeli apa-apa. Tentu ada dikalangan pembaca berasa hairan. Sebenarnya Miza sedang membaca buku tulisan Chef Li yang bertajuk OKB, Orang Kaya Bertakwa. Antara kandungan, beliau menyatakan orang Melayu suka mengkayakan orang lain.

Sedikit petikan tulisan beliau; "Wang orang Melayu tidak memakmurkan Melayu lain. Apabila gaji atau bonus naik, lebih 800 ribu orang Melayu yang makan gaji akan dapat faedah kenaikan. Tetapi akan naikkah jualan kedai-kedai Melayu? Akan meningkatkah pendapatan bengkel Melayu? Akan makmurkah semua peniaga Melayu? Malangnya itu tidak berlaku kerana duit Melayu tidak kembali kepada Melayu. Sebaliknya duit Melayu akan membina bandar-bandar baru milik orang lain!" ms13

Teringat apa yang Miza baca dan terkesan dihati dengan tulisan Chef Li, Miza kembali meletakkan barang-barang yang berkenan dihati. InsyaAllah, seboleh mungkin Miza akan memastikan wang Miza mengalir kepada Melayu yang lain.

Saudara/i bagaimana?

Sehingga kita berjumpa lagi.                                                                                             

02 September 2011

Coretan Di Hari Raya

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Selamat Hari Raya Aidilftri buat semua rakan-rakan pembaca sekalian. Semoga raya tahun ini lebih bermakna dan meriah. Miza sekeluarga beraya di Kelantan. Malah itulah destinasi kami saban tahun, kerana kami suami isteri berasal dari Kelantan. Cuma anak-anak sahaja yang bakal menjadi orang Selangor kerana kedua-dua mereka dilahirkan dan kemungkinan besar juga dibesarkan di Selangor. Kerana mama dan papa mereka mencari rezeki di Selangor.

Entri ini diharap menjadi entri pemanas kepada kesunyian blog ini hampir 2 bulan yang lepas. Sepanjang bulan puasa, Miza memang tidak berkesempatan melihat, menatap apatah lagi menulis entri di dalam blog ini. Semuanya gara-gara jadual yang agak padat sepanjang puasa.

Miza sedang memikirkan hala tuju blog ini. Apakah pengisian yang ingin diketengahkan. Sebenarnya Miza tidak begitu pandai mengolah cerita peribadi menjadi entri yang menarik untuk tatapan bersama. Namun menjadikan sesuatu isu atau topik sebagai niche blog memerlukan kita mempunyai ilmu khusus tentangnya.

Sekian dahulu coretan peribadi jauh di negeri Kelantan Darul Naim. Sehingga berjumpa lagi.