07 June 2012

Bayi & Walker


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Setelah sekian lama menyepikan diri, semalam tergerak hati untuk kembali mencoret rasa, berkongsi kisah dengan khalayak alam maya. Coretan yang tersangat ringkas, diharap ianya menjadi suatu permulaan yang baik untuk terus mencoret dan menghidupkan kembali blog ini. Semoga terus diberi kekuatan untuk terus menulis.

Penggunaan Walker Bayi

Bayi dan walker, terlalu sinonim dengan ibu bapa masa kini. Penggunaannya amat meluas. Dikatakan penggunaan walker mampu mempercepatkan proses seseorang bayi berjalan. Benarkah begitu?

Saya merasakan pendapat itu boleh disangkal dan asas kebenaran boleh diragui. Seseorang bayi memerlukan kemahiran pergerakan motor untuk terus berkembang. Bermula dengan meniarap, menjulur, merangkak dan berjalan. Penggunaan walker akan menyebabkan proses pergerakan motor akan menjadi lebih lambat dan tidak diterokai sepenuhnya oleh sekecil. Secara tidak langsung akan melambatkan proses seseorang bayi itu belajar berjalan.

Selain melambatkan penerokaan pergerakan motor seseorang bayi, penggunaan walker juga rupa-rupanya akan melambatkan perkembangan mentalnya. Perkara ini jelas diterangkan oleh Dr. Yong Junina Fadzil, seorang Pakar Perunding Pediatrik di dalam artikel Biarkan Bayi Bergerak Sendiri, penggunaan kerusi beroda menyebabkan bayi lambat berkembang dari segi mental keluaran Harian Metro bertarikh 6 Jun 2012. Menurut beliau, bayi yang menggunakan walker menunjukkan perkembangan fizikal dan mental yang lambat walaupun mereka telah pandai berjalan sendiri.

Menurut beliau, bayi yang menggunakan walker sebenarnya tidak belajar berjalan. Mereka tidak menggunakan kekuatan tapak kaki dan otot kaki untuk berdiri dan bergerak. Mereka hanya menggunakan hujung jari untuk bergerak yang sememangnya dibantu oleh roda yang sedia ada pada walker tersebut.

Penggunaan walker telah terbukti dan telah disahkan oleh pakar pediatrik akan keburukannya lebih banyak berbanding dengan kebaikannya. Terserahlah kepada kita untuk menggunakannya atau pun tidak. Buruk baik, kita yang tanggung. Selamat menjadi ibu dan bapa.

Sekian.

1 comment: